SINOPSIS: PELANGI YANG TIDAK KU CARI Nur Hayfa dilahirkan dalam sebuah keluarga yang lengkap. Namun, di sebalik kesempurnaan itu, dia membesar tanpa merasai kasih sayang yang adil daripada ibu bapanya. Sejak kecil, dirinya sering dibandingkan dengan kakaknya, Dania. “Mak, boleh tak kalau Dania nak beli kasut sukan baru? Dania nak kasut macam kawan-kawan Dania.” -DANIA- “Hayfa pun nak juga. Lagipun kasut yang Hayfa pakai tu kasut lama akak.” -NUR HAYFA- “Tak payahlah, kamu pakai kasut akak punya tu. Jangan nak membazir sangat. Selagi boleh pakai tu, pakai.” -PUAN MARLINA- Begitulah kehidupan Hayfa sejak kecil. Segala keinginannya sering dipinggirkan. Mujurlah masih ada ibu dan bapa saudaranya yang sentiasa menghulurkan kasih sayang. “Ibu Ngah, Hayfa ni bukan anak mak abah ka? Semua permintaan Hayfa, diorang buat tak tahu saja.” -NUR HAYFA- “Jangan cakap macam tu, Hayfa anak kandung diorang. Tak apa, biar Ibu Ngah yang masak untuk Hayfa. Lagipun Ibu Ngah tak bagi apa-apa lagi hadiah untuk Hayfa. Anggap ini hadiah dari Ibu Ngah, ya.” -PUAN AISHAH- Masa berlalu dan Hayfa melanjutkan pengajian di universiti. Di situlah hadir seorang lelaki yang tidak pernah jemu mengejar cintanya. “Saya suka awak.” -IRHAM- Pada mulanya Hayfa menolak, namun akhirnya dia membuka ruang untuk mereka saling mengenali. “Okay macam ni, kita kawan baik tapi kita jaga hati masing-masing. Hayfa jaga hati untuk Abang Am dan Abang Am jaga hati untuk Hayfa, deal?” -NUR HAYFA- Empat tahun hubungan mereka bertahan. Ketika cuti semester, Hayfa pulang ke kampung dan dikejutkan dengan berita pertunangan Dania. “Irham?” -NUR HAYFA- Hayfa terpaku. Lelaki yang selama ini berjanji setia dengannya rupa-rupanya bertunang dengan kakaknya sendiri. Hayfa tak mampu menahan sebak. Dia berlari meninggalkan rumah dan membawa dirinya ke sebuah tempat yang sunyi. “Kadang-kadang kita perlu melalui ribut yang menyakitkan sebelum menemui pelangi yang tidak pernah kita sangka akan hadir.” -TENGKU SYAMIL- “Dia curang dengan kakak saya sendiri…” -NUR HAYFA- Walaupun perit, Hayfa memilih untuk bangkit dan menamatkan pengajiannya. Dia pulang ke kampung, dan sekali lagi menyaksikan sesuatu yang membuatkan hatinya terluka. "Aku terima nikahnya Nur Dania binti Ismail dengan mas kahwin sebentuk cincin emas.” -IRHAM- “Mungkin saya tak berada di tempat awak, tapi saya pernah dikhianati seperti mana yang awak rasa. Sebab itu saya faham semua yang awak lalui, Hayfa.” -TENGKU SYAMIL- “Dia pernah janji dengan saya, dia nak kahwin dengan saya selepas saya tamat pengajian. Sekarang dia kahwin, tapi bukan dengan saya… dengan kakak saya.” -NUR HAYFA- “Hayfa, kamu cakap apa ni?” -NAIM- Ketika masih bergelut dengan luka yang Irham berikan, Hayfa dikejutkan pula dengan satu kebenaran yang akhirnya menjawab persoalan mengapa ibu bapanya membezakan dirinya dan kakaknya sejak kecil. “Hayfa faham sekarang ni. Hayfa minta maaf kalau kehadiran Hayfa buat mak dan abah terseksa. Hayfa akan pergi dan selepas ini, mak dan abah tak perlu terseksa lagi.” -NUR HAYFA- Di sebalik setiap luka dan air mata Hayfa, ada seorang lelaki yang setia memerhati dari jauh, sentiasa berharap Hayfa akan menemukan kebahagiaannya. Setelah sekian lama memendam rasa, Syamil akhirnya nekad meluahkan perasaannya dan bertekad memberi kebahagiaan yang selama ini tidak pernah dimiliki Hayfa. “Hayfa, kita kahwin…” -TENGKU SYAMIL- Namun, Hayfa masih belum bersedia. Terlalu banyak luka yang masih belum sembuh, daripada pengkhianatan Irham hinggalah kebenaran yang melibatkan ibu bapa dan kakaknya sendiri. “Syamil, saya ni baru saja dapat tahu pasal…” -NUR HAYFA- “Hayfa, kita tutup kisah cinta itu. Kita buka kisah cinta kita pula. Saya ikhlas nak jadikan awak isteri saya.” -TENGKU SYAMIL- Walaupun berkali-kali Hayfa mengelak dan menolak, Syamil tidak pernah berputus asa. Sedikit demi sedikit, dia membuktikan bahawa cintanya lahir daripada keikhlasan, bukannya simpati. “May I Keep You Forever, Dr. Nur Hayfa?” -TENGKU SYAMIL-