SINOPSIS MADU YANG AKU RESTUI Qaseh dan Wildan merupakan pasangan suami isteri yang diuji dengan penantian hadirnya seorang zuriat. “Bila Allah nak kasi kita rezeki anak kan? Kalau ada anak mesti lagi seronok. Rumah kita besar tapi hanya kita berdua sahaja penghuninya, tak ada suara anak kecil, tak ada tapak kaki kecil yang berlari sana sini, tak ada bayang anak kecil yang bermain di taman mini rumah kita.” - Qaseh Imani “Allah dah atur cantik perjalanan kita. Kita sabar sikit ya sayang. Kita dah buat rawatan kesuburan, sayang tak ada masalah dan abang pun sama. Cuma rezeki kita ja yang belum ada sekarang. Allah akan beri di waktu yang tepat. Jangan sedih-sedih okay?” - Wildan Tanpa hadirnya zuriat, Qaseh menyibukkan dirinya dengan menguruskan kedai floris dan hantaran miliknya sendiri manakala Wildan pula berjaya dalam bisnes restoran western yang semakin dikenali ramai. Kehidupan mereka tampak bahagia, namun dalam diam mereka menyimpan satu rasa. Iaitu rasa kosong sehinggalah hadirnya Safiyya mengubah segalanya. “Abang Wildan ni memang tak pernah tak sweet. Untung akak. Safiyya harap satu hari nanti Safiyya dapat lelaki yang sweet, romantik macam suami akak.” -Safiyya “Aamiin… akak doakan Safiyya dapat yang jauh lebih baik dari Abang Wildan.” - Qaseh Imani Sebenarnya Safiyya bukan lah orang asing dalam hidup Qaseh. Dia adalah sahabat sejak kecil, membesar di kawasan yang sama dan pernah melalui banyak kenangan bersama. Hubungan mereka bertambah rapat apabila Safiyya bekerja di bawah Qaseh, menjadikan kepercayaan antara mereka semakin kuat. “Terima kasih sebab ambil Safiyya kerja dengan akak.” - Safiyya “Akak ambil Safiyya bukan sebab simpati, bukan juga sebab kita kenal dari kecil. Akak ambil Safiyya sebab tangan Safiyya berseni. Bakat tu bukan semua orang ada.” - Qaseh Imani Namun, hidup Safiyya hancur apabila dia menjadi mangsa penderaan seksual oleh ayah tirinya sendiri. “Ayah… Safiyya takut… Ayah jangan seksa Safiyya nacam ni lagi. Tolong lah ayah.” - Safiyya Namun rayuannya tidak dipedulikan. Rayuan itu bagai angin lalu. Pak Deris sebaliknya menarik Safiyya menuju ke bilik lalu melakukan hal yang paling ngeri dalam hidup Safiyya sekali lagi. Tragedi hitam itu bukan sahaja meninggalkan luka jiwa yang dalam, malah menyebabkan Safiyya mengandung tanpa dia sendiri rela. Dalam keadaan tidak berdaya, Qaseh membawa Safiyya tinggal bersamanya, cuba melindungi sahabatnya itu daripada dunia luar. Qaseh kemudian membuat keputusan yang mengejutkan, dia mahu Safiyya menjadi isteri kepada Wildan, demi memastikan anak dalam kandungan Safiyya tidak membesar tanpa kasih sayang seorang ibu dan ayah. “Saya nak abang nikah dengan dia.” -Qaseh Imani “No! Big no! Sayang boleh cari jalan lain. Bukan jalan ni.” - Wildan Keputusan itu mencetuskan pergolakan besar dalam hidup mereka bertiga. Wildan menolak keras kerana cintanya hanya untuk Qaseh dan dia tidak sanggup berkongsi cintanya dengan orang lain. Safiyya pula berada dalam dilema, walaupun jauh di sudut hati dia menyimpan rasa terhadap Wildan, dia tidak sanggup menjadi punca kehancuran rumah tangga Qaseh yang banyak berkorban untuknya. Qaseh pula berdiri dengan pendiriannya. Dia sanggup berkongsi cinta kerana dia sendiri pernah melalui hidup tanpa kasih sayang ibu dan ayah. Dia tidak mahu anak yang tidak bersalah itu membesar dengan kekosongan yang sama seperti dirinya dahulu. Antara cinta, pengorbanan, luka silam dan takdir yang tidak terduga, mereka bertiga terperangkap dalam keputusan yang paling sukar dalam hidup. Adakah Qaseh mampu menyatukan mereka, atau hanya akan menghancurkan segala yang telah dibina?