Membesar tanpa dakapan seorang ibu dan tanpa pernah mengenal makna panggilan ayah, hidup Aisy Solehah sejak kecil hanyalah tentang belajar berdiri sendiri di sebalik dinding rumah anak yatim. Dia membesar dengan senyuman yang dipaksa dan hati yang rapuh, menyimpan luka kehilangan yang tidak pernah benar-benar sembuh. Berbekalkan impian untuk memberi kasih sayang yang tidak pernah dia miliki, Solehah memilih belajar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Namun, dia tidak berpeluang bekerja dalam bidang yang diceburi. Hidup sekali lagi mengujinya. Kehilangan kerja di 7-Eleven menjadi titik jatuh yang hampir meranapkan semangatnya. Hari-harinya berlalu dengan penolakan demi penolakan serta keletihan yang mematikan harapan. Sehinggalah takdir menemukan dia dengan Luth Anaqi, seorang kanak-kanak berusia empat tahun. “Ya Allah, awak okey ke? Akak minta maaf… akak tak sengaja…” -Aisy Solehah- “Saya okey je, saya kan superhero.” -Luth Anaqi- Di sebalik senyuman polos itu, tersimpan kisah sunyi yang terlalu berat untuk dipikul oleh seorang anak kecil. “Baru saya faham kenapa dia bahagia sangat bila saya gelarkan diri saya mama. Rupanya dia memang tak pernah rasa sosok seorang ibu dalam hidupnya.” -Aisy Solehah- Pertemuan atas dasar kebetulan perlahan-lahan mengikat dua jiwa yang sama-sama kesepian seolah-olah mereka saling diciptakan untuk menyembuhkan luka masing-masing. Dia bertekad di dalam hati. Dia tidak akan membiarkan Anaqi merasa kekurangan lagi. Dia mahu memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatiannya kepada anak itu, bukan sekadar sebagai seorang pengasuh, tetapi sebagai seorang ‘mama’ yang diimpikan oleh Anaqi. Namun jalan Solehah tidak pernah mudah. Tanggungjawab sebagai pengasuh sering bertukar menjadi perang mulut apabila dia kerap bertelagah dengan Syed Ridzuan, bapa Anaqi yang sejak pertemuan pertama mereka pun sudah dimulai dengan salah faham. “Takkan orang handsome, berpakaian kemas macam ni dianggap penculik pulak?” -Syed Ridzuan- “Hek eleh, riak! Sekarang ni penculik bukan pakai topeng hitam atau baju koyak-koyak je. Lagi kemas pakaian tu, lagi orang tak syak. Itu namanya penjenayah kolar putih. Lagi bahaya! Badut yang jadi penghibur pun dah ada isu culik budak ni kan pulak awak. Awak ingat senang-senang je saya nak percaya?” -Aisy Solehah- Setiap tingkah laku yang menjadi salah mula mencetuskan pertembungan dua hati yang sama-sama enggan mengalah. “Kalau Anaqi tidur nanti saya nak bantu Makcik Kalsom kemas-kemas boleh ke, puan?” -Aisy Solehah- “Saja nak tunjuk rajin lah tu.” -Syed Ridzuan- “Saya dah cakap kan jangan ubah kedudukan bantal sofa ni?” -Syed Ridzuan- “Memang saya tak ubah pun,cuma saya letak menyenget sikit je supaya tak semua nampak lurus.” -Aisy Solehah- Sehinggalah satu perpisahan sementara membuka mata mereka bahawa rindu itu wujud. “Waalaikumussalam! Tadi Naqi dah nak tidur, tapi tiba-tiba pula rindu papa. Mama pun rindu papa!” -Luth Anaqi- “Kirim salam dekat mama ya. Cakap kat dia, papa pun rin... eh, papa pun sibuk kat sini, tapi papa ingat dekat Naqi selalu.” -Syed Ridzuan- Mampukah Aisy Solehah menjadi pelindung buat Anaqi yang sah? Dan adakah takdir benar-benar menyediakan dia sebagai suri hati papa Anaqi? Segalanya akan terjawab dalam sebuah kisah penuh suka dan duka serta kehangatan bertajuk Jodoh Buat Papa 🤍